Malaysia Dateline

Kos berlebihan ECRL, SSER untuk bayar hutang 1MDB kini terdedah

Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia perlu membuat siasatan segera ke atas pendedahan yang dibuat oleh Sarawak Report tentang pengaliran wang negara untuk membayar hutang 1MDB.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua dalam satu kenyataan medianya berkata, ini berikutan pendedahan Clare Recastle Brown bahawa pembayaran berlebihan kepada projek ECRL dan saluran paip berkembar oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER) perlu disiasat segera.

“Kami sentiasa menjangkakan pembayaran berlebihan untuk ECRL dan SSER adalah cara untuk menyalurkan wang dari kerajaan Malaysia bagi membayar hutang 1MDB,” dakwa Tony Pua dalam kenyataan itu.

Katanya, apabila PH mengambil alih kerajaan pada 2018, mereka mendapati 1MDB telah menjual tanahnya di Pulau Pinang kepada Silk Road Southeast Asia Real Estate Ltd, sebuah syarikat yang di Cayman Islands dengan harga CNY4.25 billion (RM2.7 billion).

Perjanjian jualbeli ini telah ditandatangani oleh Saud Abdulmohsen, mewakili Kuwait dalam Silk Road Southeast Asia pada Ogos 2017.

“Apa yang mengejutkan adalah, walaupun wang CNY4.25 bilion telah dibayar sepenuhnya kepada 1MDB, tidak ada sebarang usaha untuk menukar hak milik tanah itu kepada pemilik baru.

“Sebaliknya, wang yang diterima oleh 1MDB digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1MDB sebanyak US$1.2 bilion kepada International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dari Abu Dhabi dan penghutang 1MDB yang lain,” jelas Tony, bekas Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu.

KLIK UNTUK IKUTI KENYATAAN PENUH TONY PUA