Malaysia Dateline

Kos Haji : Malaysia mohon Arab Saudi maklum awal

Malaysia memohon Arab Saudi supaya memaklumkan lebih awal kos-kos melibatkan urusan haji di Tanah Suci pada tahun ini bagi memastikan pengurusan jemaah haji Malaysia kekal terbaik.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam hantaran di Facebook hari ini berkata perkara itu antara yang dibincangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama pengurusan TH dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

Mohd Na’im dan rombongan kini dalam lawatan kerja ke Arab Saudi bagi membincangkan urusan ibadat haji musim 1444 hijrah/2023.

Menurut TH, turut dibincangkan adalah berkenaan jumlah asal kuota rasmi jemaah haji Malaysia yang sebelum ini dikurangkan akibat pandemik COVID-19.

“Selain itu, program Makkah Route yang menjadikan Malaysia sebagai negara perintis bermula tahun 2017 turut dibincangkan pada pertemuan ini. Program ini memberi keselesaan kepada jemaah negara kerana tidak perlu melalui imigresen apabila tiba di Arab Saudi,” menurut kenyataan itu. 

Dalam pertemuan itu juga, Dr Tawfiq memuji TH atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.

Kenyataan itu menyebut Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas layanan dan fasiliti baik yang sentiasa disediakan kepada jemaah haji negara.

— BERNAMA

Baca juga : Ketua Hakim Negara dedah pernah terima ancaman bunuh