Malaysia Dateline

Kos haji meningkat! Menteri Agama ingatkan bakal jemaah haji jangan bergolok-gadai, nilai kemampuan sendiri

Kos menunaikan haji difahamkan akan terus meningkat, bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad mengingatkan bakal jemaah jangan bergolok-gadai kerana Allah tidak memaksa jika tidak berkemampuan.

Katanya, bakal jemaah dinasihatkan supaya menilai kemampuan sendiri dan mengambil kira kenaikan kos sebelum menunaikan ibadah haji.

Awal tahun ini, TH menganggarkan kos menunaikan ibadah itu bagi setiap jemaah muassasah untuk musim 1445 Hijrah/2022 Masihi ialah RM25,540, namun angka sebenar meningkat kepada RM28,632 dan daripada jumlah itu, seorang jemaah muassasah B40 hanya membayar RM10,980, manakala bukan B40 sebanyak RM12,980.

Idris berkata sehingga kini, belum ada perbincangan dengan pihak TH berkenaan kenaikan bayaran untuk musim haji 1444 Hijrah/2023 Masihi.

“Kita perlu faham konsep menunaikan ibadah dan Allah SWT tidak memaksa jika kita tidak berkemampuan. Jangan sehingga kita bergolok-bergadai dan kehabisan wang simpanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jualan Bergerak Bantu Rakyat di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai kemungkinan peningkatan kos mengerjakan ibadah itu kembali dibincangkan sejurus berakhirnya musim haji tahun ini.

Perkara itu dibayangkan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar bulan lepas yang memaklumkan TH dijangka membincangkan isu kenaikan kos haji musim depan dengan kerajaan, dipetik Bernama.

Baca juga: http://Lelaki ada rekod 8 kes pecah rumah, 6 kes dadah berjaya ditangkap, warga emas rugi RM80,000

Baca juga: Ahli perniagaan Malaysia, ‘Fat Leonard’ berjaya ditahan di Venezuela selepas larikan diri