Kos haji Muassasah naik 8 peratus tahun ini, cecah RM33,300 seorang

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya ramai yang tidak sabar mahu menunaikan ibadah haji di Tanah Suci tahun ini apatah lagi kuota setiap negara adalah terhad.

Bagaimanapun kos bagi bakal haji Muassasah dikatakan bakal bertambah sebanyak lapan peratus lapor Kosmo.

Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji 1445H/2024M adalah RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun 1444H/2023M.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, bayaran RM12,356 seorang dikenakan bagi kumpulan B40 yang baru pertama kali menunaikan haji.

Kadar ini juga mengambil kira bahawa Kerajaan Malaysia menanggung sebanyak RM1,000 seorang bagi kumpulan B40.

“Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM20,944 seorang atau bersamaan dengan 63 peratus daripada kos haji.

“Bayaran Haji bagi bakal haji Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang.

“Bakal haji kumpulan M40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42 peratus dari kos keseluruhan kos haji,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Tambahnya, kumpulan T20 akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu sebanyak RM33,300 seorang.

Baca juga: Tak akan tunda, konsert Siti Nurhaliza fokus kepada amal bukan keuntungan semata