Malaysia Dateline

Kos kerajaan RM100, nilai barangan diterima hanya RM35 sahaja, dakwa MP

Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mendakwa barangan makanan yang sepatutnya bernilai RM100 untuk diagihkan kepada golongan B40, tidak seperti yang dijanjikan kerajaan.

Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, berkata, dari sejumlah 1,000 bungkusan makanan yang sepatutnya dihantar ke Parlimennya, namun beliau hanya menerima 150 pek makanan sahaja, lapor Malaysiakini.

Malah, selepas pemeriksaan pek makanan yang diterimanya semalam, jumlah barangan makanan dianggarkan hanya bernilai RM35.

Cha berkata, dalam setiap bungkusan terdapat tujuh barangan, iaitu lima kilo beras, sekilo minyak masak, satu paket bihun kering, satu paket biskut teh dan kopi segera.

Seperti yang dilaporkan satu portal berita, Cha memberitahu barangan yang diberi mempunyai tanda harga iaitu beras bernilai RM13, manakala harga minyak dan bihun bernilai antara RM2 ke RM3 setiap satu.

Bungkusan makanan tersebut katanya mungkin bernilai paling tinggi hanya RM35.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng turut mendakwa pihaknya menerima aduan dari beberapa daerah mengenai bantuan makanan yang diterima dari kerajaan Negeri Sarawak sepanjang tempoh PKP ini.

Kata Pengerusi PKR Sarawak itu, walaupun bantuan kerajaan Negeri adalah inisiatif yang baik, namun pelaksanaannya agak teruk.

Beliau berkata, di Bukit Goram sahaja, setiap keluarga menerima 20kg beras, biskut, 2kg gula, tepung dan Ajinomoto.

Manakala di Pakan pula, masing-masing menerima 10kg beras, biskut, 2kg minyak masak, 2kg gua and 20 bag teh. Malah, di Meluan pula, keluarga B40 hanya menerima 20 kg beras sahaja.

“Itulah sebabnya saya mencadangkan bahawa pengagihan bantuan makanan sebanyak RM200,000 untuk setiap DUN, seharusnya diuruskan pejabat daerah dan bukan ahli politik GPS,” katanya dalam satu muatnaik status di Facebook.

Jumaat lalu, sekurang-kurangnya 54 kawasan Parlimen pembangkang masih belum menerima peruntukan bantuan makanan untuk kawasan masing-masing, seperti yang diberitahu anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Yeoh, yang merupakan mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mendakwa bahawa kawasannya hanya menerima 250 bungkusan sahaja.

Bagaimanapun, memetik sumber portal berita, anggota Parlimen Kulai dari DAP Teo Nie Ching dan anggota Parlimen Cheras Tan Kok Wai kedua-duanya mengesahkan bahawa nilai bungkusan makanan yang diterima mereka adalah sekitar RM100.

Dilaporkan, hanya satu kawasan pembangkang yang menerima kuota penuh 1,000 bungkusan makanan, iaitu Langkawi di bawah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sementara Kangar di bawah Noor Amin Ahmad dari PH, dan Kubang Pasu di bawah Amiruddin Hamzah dari Bersatu, menerima 900 bungkusan setiap satu.