Kos RM4.1 bilion terlalu besar bagi projek Lebuhraya DASH – Khalid

Kos RM4.1 bilion terlalu besar bagi projek Lebuhraya DASH – Khalid

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mempersoal kos RM4.1 bilion bagi membina Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang didakwa terlalu besar bagi jajaran sepanjang 21 kilometer (km).

Khalid SamadBeliau berkata, jumlah itu menunjukkan RM190 juta akan dibelanjakan bagi setiap kilometer laluan yang menghubungkan Puncak Perdana dan Penchala itu.

“Pembinaan lebuh raya ini memberikan kesan yang sangat baik seperti yang telah diperjelaskan kepada umum sebelum ini. Cuma kos itu agak tinggi. Dalam kiraan saya sendiri dengan jumlah RM4 bilion untuk jarak 21km, akan menjadikan hampir RM190 juta setiap kilometer.

“Mungkin kos itu ada penjelasan yang kita sendiri tidak tahu,” kata beliau seperti dipetik Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian pada pertemuan sesi taklimat bersama penduduk Villa Suria dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) di Cahaya SPK Clubhouse, malam tadi.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Villa Suria, Jamaludin Ismail berkata, pihaknya menyuarakan permasalahan itu kerana projek itu melibatkan kawasan perumahan mereka.

“Dari segi strukturnya terdapat tiang yang termasuk di dalam kawasan sekarang ini. Keselamatan bukan sesuatu yang kita tengok pagar dah selamat atau tidak, kami nak tengok apa perancangan keselamatan dan pemantauan daripada pihak pemaju,” katanya.

DASH merupakan lebuh raya bertingkat enam lorong dengan 12 persimpangan yang merentasi deretan rumah dan kedai di kawasan kejiranan, menghubungkan pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint.

Pembinaannya dilaksanakan sebagai laluan alternatif kepada pengguna bagi mengelak kesesakan selain menjadi penghubung utama memasuki laluan ke utara dan selatan tanah air.

Ia dijangka dibuka kepada pengguna Ogos 2020.

Bagaimanapun wujud kebimbangan penduduk sekitar Shah Alam, Damansara dan Petaling Jaya sekiranya projek berkenaan bakal memberi pelbagai kesan jangka panjang kepada mereka.

Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini memberi jaminan pandangan penduduk akan diambil kira termasuklah untuk mengubah reka bentuk jajaran demi kesejahteraan penduduk.

COMMENTS

Wordpress (0)