Malaysia Dateline

Kos RM470,000 ubahsuai, beli perabot pejabat Menteri Undang-undang

Kos pengubahsuaian serta menukar perabot baru di pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Undang-undang) mencecah RM470,000 sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Kos ubahsuai sahaja sebanyak RM380,000 telah dibelanjakan manakala kos penukaran perabot pula mencecah RM90,000, ianya telah diberikan tender kepada kontraktor Puncak Interaktif Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Dalam soalan asal, Hannah meminta Perdana Menteri menyatakan butir-butir secara terperinci menteri dan timbalan menteri yang telah menjalankan kerja pengubahsuaian pejabat mereka sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Jawapan kepada pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh

Ianya, termasuk pembelian perabot baharu dan meminta menyatakan secara terperinci kos terlibat serta namakan pihak atau syarikat yang mendapat tawaran kerja pengubahsuaian tersebut.

Ismail Sabri juga memberitahu pejabat Menteri dan Timbalan Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) telah membelanjakan RM145,977 untuk pengubahuaian manakala RM254,733 pula dibelanjakan untuk pembelian perabot baru.

Tambahnya, sebanyak RM192,870 pula telah dibelanjakan untuk pengubahsuaian pejabat Timbalan Menteri Undang-undang di mana RM10,000 pula dibelanjakan untuk pembelian perabot baru.

Kerja pengubahsuaian dan pembelian perabot bagi kedua-dua pejabat ini telah diberi kepada Sega Elektrik Sdn Bhd dan Kerayong Indah Enterprise.

Bagaimanapun, menurut Ismail Sabri, kerja ubahsuai sepanjang tahun 2020 dan 2021 termasuk penggantian perabot lama mengikut ketetapan dan kelayakan berdasarkan garis panduan dan peraturan bagi perancangan bangunan oleh jawatankuasa standard dan kos, unit perancang ekonomi Jabatan Perdana Menteri.