Kos seminar, lawatan ke Krabi hanya RM60,000 – TMB Kelantan

Kos seminar, lawatan ke Krabi hanya RM60,000 – TMB Kelantan

Seminar dan kunjungan tiga hari 130 peserta rombongan kerajaan Kelantan ke Krabi, Thailand baru-baru ini hanya menelan belanja RM60,000.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah yang mengetuai rombongan itu berkata, kos tersebut hampir serupa dengan apa yang dibelanja ketika seminar dan lawatan sambil belajar diadakan di Pulau Pinang dan Selangor sebelum ini.

Menurutnya perancangan membuat lawatan dan seminar di Krabi dipersetujui ketika seminar diadakan di Pulau Pinang, lapor portal berita rasmi Pas, Harakahdaily.

“Kita rancang buat lawatan ke Krabi pada 2014. Bagaimanapun pada akhir 2014 berlaku banjir besar. Jadi kita tumpu menyelesaikan masalah banjir terlebih dahulu.

“Lagi pun JHET (Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah) ada bajet khusus bagi tujuan itu bagi mencari pengalaman baru di negeri-negeri lain,” ujarnya.

Selain mengadakan seminar, rombongan Nik Amar turut mengunjungi hormat Pejabat Gabenor Krabi dan melawat pusat pemulihan dadah secara Islam.

Kerajaan Kelantan, ujar Nik Amar turut menawarkan tempat di sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) kepada pelajar Muslim di Krabi tanpa dikenakan yuran.

JHET Negeri Kelantan baru-baru ini mengadakan seminar pengurusan tanah di Krabi, Thailand di samping menganjurkan lawatan sambil belajar.

Krabi sebuah wilayah terletak di pinggir pantai Laut Andaman, selatan Thailand. Lebih 50 peratus daripada 400,000 penduduknya beragama Islam.

Lawatan ke Krabi itu menerima kritikan pelbagai pihak yang disifatkan bertentangan dengan dasar jimat cermat kerajaan negeri.