Bulan Ramadan adalah bulan ibadat buat umat Islam maka tak terkejut jika jadual yang padat dibiarkan kosong demi bersama keluarga.
Sering tampil dengan watak yang menyayat hati, pelakon Ummi Nazeera berkongsi jadualnya kosong di bulan Ramadan sejak beberapa tahun lepas.
Sejak awal tahun ini, Ummi sudah mengurangkan tawaran berlakon demi menumpukan perhatian buat anaknya yang mula bersekolah lapor Berita Harian.
“Selepas drama Risik Pada Hati, kira-kira tiga tahun lalu, saya tidak lagi ambil tawaran menjayakan penggambaran pada Ramadan.
“Saya mahu meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak sebelum mula sibuk selepas Ramadan hingga akhir tahun,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Dalam pada itu Ummi berkongsi dirinya lebih suka memasak juadah berbuka sendiri di rumah malah mengakui tak memaksa anaknya untuk berpuasa.
“Untuk berbuka, saya tidaklah masak beriya-iya. Suami lebih suka makanan ringkas seperti kuetiau goreng. Jadi, saya ikut permintaan suami,” katanya.
“Saya bertanya Ayra sama ada mahu berpuasa atau tidak, tetapi saya tidak mahu paksa.
“Contohnya, pakai tudung ke sekolah. Saya tidak suruh, tetapi dia sendiri yang mahu pakai tudung. Jadi, saya mahu anak belajar sendiri daripada teladan.
“Seperti saya, kesedaran berhijab lahir atas kehendak sendiri. Saya tidak suka dipaksa, itu yang saya mahu terapkan kepada anak-anak,” tambahnya.
Baca juga: Arwah Akiko Okumura rupanya keturunan orang kaya, rela tinggal harta demi cinta terhadap suami