Malaysia Dateline

Kota apa yang kita kata, pesan Ustaz Nik Omar

Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, keperibadian Rasulullah SAW menjadi sumber qudwah atau teladan bagi manusia lantaran akhlak al-Quran adalah sesuatu yang hidup pada diri Rasulullah SAW.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu berkata, melakukan perkara apa yang dikata penting bagi mengelakkan Islam dipandang serong.

“Setiap apa yang dia kata, dia kota (lakukan). Kekuatan Islam yang sebenar ialah kata-kata dikota sama ada kehidupan kita sebagai individu, berkeluaraga, berorganisasi, bernegara, dan keseluruhan kita mengurus alam.

“Kata dan kota apa yang kita kata. Jadi, bermula dari menteri turun ke jabatan, kekuatan Islam sebenarnya melalui individu Muslim yang mesti ada qudwah. Kita mesti membina qudwah,” ujarnya.

Bekas calon PH pada PRU-14 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka, Kelantan itu berkata demikian dalam Forum Perdana: Islam dan Masyarakat di Dataran Datuk Sheikh Ahmad dekat Kangar, Perlis baru-baru ini.

Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz

Mengulas lanjut, Ustaz Nik Omar berkata, keutamaan kepada praktik qudwah membolehkan umat Islam menonjolkan Islam itu sebagai satu sistem hidup yang sempurna dan sesuai dengan fitrah manusia.

“Mana yang manusia fikir baik, itu yang Islam sokong dan sebaliknya begitulah juga,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat berlumba-lumba untuk membuat kebaikan tanpa mengira keturunan apa lagi agama anutan.

“Kalau kita melihat seseorang, adakah kita menilai dari segi warna kulit dan agama? Jadi, lihatlah mereka sebagai hamba Allah yangh kesemuanya datang dari Nabi Adam.

“Mari kita berlumba-lumba buat kebaikan dan kebajikan. Kita juga mesti beri ruang kepada individu dan kumpulan lain kerana masing-masing juga ada sumbangan,” katanya lagi.