Malaysia Dateline

#KoyakIsrael: Solat hajat, bakar bendera naikkan sepanduk bantah Israel

Organisasi AMANAH di seluruh negara hari ini diminta menganjurkan solat hajat, membakar bendera Israel dan menaikkan sepanduk membantah Israel bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Tindakan itu akan dibuat sebaik sahaja selesai solat Jumaat hari ini di seluruh negara yang akan dibuat di masjid atau di rumah masing-masing ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dalam satu suratnya berkata, keputusan untuk mengambil tindakan itu dicapai dalam satu mensyuarat Lajnah Antarabangsa AMANAH baru-baru ini.

“Semua aktiviti ini akan menggunakan #KoyakIsrael,” kata Dr Hatta dalam surat itu merujuk kepada slogan yang kini juga digunakan oleh rakyat Indonesia, negara yang mempunyai paling ramai umat Islam itu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub itu juga memutuskan tiga tindakan lagi.

Malam tadi berlangsung pidato pimpinan AMANAH dan pemimpin NGO yang menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengetuai program pidato yang disiarkan secara langsung di Facebook Parti Amanah Negara malam tadi.

Dua hari lepas, satu memorandum khas dihantar kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendesak agar badan dunia itu menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh regim zionis Israel.

Pemuda AMANAH pula akan menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur hari ini bagi membantah sokongan negara itu terhadap Israel.