Malaysia Dateline

KP Kesihatan beri peringatan, banyak tempat dibuka bukan kerana ia selamat

Ekoran peraturan yang lebih longgar dikuatkuasakan ketika ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan bahawa pembukaan beberapa sektor dibuat atas pertimbangan faktor ekonomi dan bukannya kerana ia selamat.

Beliau memberi peringatan itu setelah Perdana Menteri sementara, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mengumumkan beberapa kelonggaran kepada negeri-negeri yang masih lagi berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Peringatan untuk semua, banyak tempat dibuka kerana ekonomi dan bukan kerana ianya selamat. Tolong ingat itu.

“Diharapkan semua orang memakai pelitup muka dua lapis jika boleh, amalkan penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan. Elakkan tempat sesak dan sempit. Jaga diri dan dapatkan vaksin anda segera,” ciapnya di Twitter semalam.

Pada semalam, Mahiaddin mengumumkan pembukaan beberapa sektor ekonomi termasuk mula membenarkan individu makan di dalam restoran untuk mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin.

Selain itu, lebih banyak aktiviti rekreasi dibenarkan buka termasuk memancing, mendaki, brkhemah, berbasikal, bermain golf dan pertandingan badminton atau tenis perseorangan.