Siapa sangka, sebuah rumah yang terletak di Taman Meru, Ipoh, Perak dijadikan stor penyimpanan minyak masak bersubsidi secara haram oleh seorang lelaki tempatan.
Tindakan lelaki berkenaan akhirnya terbongkar selepas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu rumah tersebut.
Penguat kuasa kemudian menemui bungkusan minyak masak bersubsidi seberat 527 kilogram dalam serbuan yang dijalankan pada Selasa, kira-kira jam 5.30 petang itu.
Difahamkan, serbuan yang dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa KPDN Perak itu adalah hasil dari maklumat orang awam dan risikan di kawasan kediaman terbabit.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kediaman satu tingkat milik lelaki itu disyaki dijadikan stor simpanan minyak secara haram, lapor Sinar Harian.
“Pemeriksaan menemukan kotak-kotak yang menempatkan 527 peket minyak masak bersubsidi di ruang tempat letak kenderaan.
“Semakan awal juga mendapati pemilik premis tersebut tidak mempunyai apa-apa kebenaran atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia untuk menyimpan barang kawalan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Kamalludin memaklumkan bahawa kesemua paket minyak masak yang bernilai RM1,317.50 itu telah disita oleh pihaknya untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan lelaki terbabit boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
“Pemilik premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki atau ada dalam kawalan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak akan melakukan kesalahan.” Ulasnya.
Baca juga: Gaji pemotong rumput di Malaysia boleh cecah RM6,000 sebulan, macam tak logik tapi ia benar