Malaysia Dateline

KPDN tangani isu birokrasi dalam proses permohonan syarikat perniagaan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menangani isu birokrasi dalam proses permohonan syarikat tempatan dan antarabangsa untuk menjalankan aktiviti perniagaan di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kerajaan fokus kepada usaha menghidupkan suasana perniagaan dalam negara dengan memberi kemudahan berbentuk kelulusan permohonan dan fasiliti kepada komuniti perniagaan.

“Kita pendekkan sebarang isu-isu birokrasi supaya mereka yang datang untuk mendapatkan kelulusan itu selesa dan ini akan menggamit pertumbuhan ekonomi yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan bakeri Kafe Paris Baguette di pusat membeli belah Pavilion di sini hari ini.

Menurutnya pentadbiran kerajaan perpaduan serta kestabilan politik yang dirasai kini juga boleh menjadi pemangkin kepada syarikat asing untuk membuka perniagaan di negara ini.

kpdn
#image_title

Salahuddin berkata 360 permohonan syarikat asing untuk menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia diluluskan pada 2021 dengan permohonan paling tinggi melibatkan sektor makanan dan minuman (F&B).

Beliau berkata jumlah modal berbayar terkumpul yang dibawa masuk ke Malaysia oleh syarikat asing pada tahun berkenaan mencatatkan sejumlah RM8.952 bilion.

Sementara itu, merujuk kepada harga siling ayam dan telur ayam dalam negara Salahuddin berkata, harga siling tidak diteruskan apabila bekalannya kembali pulih di pasaran.

— BERNAMA

Baca juga : Belanjawan 2023: Tangani kemiskinan tegar agenda utama KPDN