Malaysia Dateline

KPDNHEP dengar keluh peniaga kurang pekerja tempatan

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengetengahkan permasalahan tentang kekurangan pekerja tempatan di Pasar Borong Selangor supaya pihak kerajaan dapat meneliti isu tersebut dengan lebih mendalam.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata demikian, selepas melakukan lawatan ke pasar borong berkenaan bersama pegawai-pegawai Penguatkuasa KPDNHEP untuk memantau aktiviti jual borong yang dijalankan, pagi tadi.

Katanya, biarpun pihak peniaga menawarkan kadar gaji yang berpatutan, namun mereka masih berdepan dengan permasalahan untuk mendapatkan pekerja tempatan.

“Saya mendapat maklum balas langsung dari pemborong dan peniaga di sini yang mengeluh untuk mendapatkan pekerja tempatan bagi menjalankan operasi perniagaan di premis mereka walaupun menawarkan gaji yang berpatutan.

“Saya akan mengangkat penemuan ini ke platform yang sesuai untuk pihak Kerajaan melihat isu ini dengan lebih mendalam,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad..

Turut hadir dalam lawatan pemantauan berkenaan, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Muez Abdul Aziz dan Ketua Bahagian Penguatkuasa, Dato’ Iskandar Halim

Dalam perkembangan sama, Saifuddin turut mengingatkan para peniaga supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya walaupun tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) telah berakhir.

Katanya, tujuan pemantauan adalah untuk meneliti pergerakan harga barang selepas tamat tempoh pelaksanaan SHMMP, kepatuhan terhadap undang-undang pengguna, kualiti barangan yang dijual serta untuk mendapat maklumbalas secara terus daripada peniaga dan pengguna.

“Hasil pemantauan mendapati harga barangan yang dijual di pasar tersebut dalam keadaan stabil dan munasabah disamping bekalan juga mencukupi dan barangan jualan berkualiti tinggi.

“Saya meminta peniaga untuk terus patuh terhadap undang-undang pengguna yang berkuatkuasa seperti meletakkan tanda harga dan memastikan timbang sukat yang tepat.

“Saya serta pegawai-pegawai Penguatkuasa kementerian akan meneruskan pemantauan secara kerap bagi menangani sebarang pencatutan dan menjaga kebajikan pengguna. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang didapati mengambil kesempatan,” ujarnya.

Tambahnya, pengguna juga diminta untuk melporkan kepada kementerian sekiranya mendapati sebarang kenaikan harga secara mendadak atau ketidakpatuhan terhadap undang-undang pengguna. Antara saluran yang boleh digunakan adalah saluran WhatsApp kementerian iaitu 019-2794317.

Selain itu, pengguna dinasihatkan untuk membudayakan amalan pengguna bijak seperti peka terhadap hak pengguna dan melakukan perbandingan harga semasa membeli bagi mendapatkan nilai terbaik. Dalam usaha ini, aplikasi Price Catcher yang dibangunkan oleh kementerian dapat membantu.