KPDNHEP-Hypermarket bincang tidak naikkan harga barangan popular pengguna

KPDNHEP-Hypermarket bincang tidak naikkan harga barangan popular pengguna

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDHNHEP) sedang berbincang dengan hypermarket agar tidak menaikkan harga barangan popular apabila subsidi bersasar petrol RON95 dilaksanakan pada suku kedua tahun depan, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata ini kerana apabila subsidi bersasar kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40) dilaksanakan, perbelanjaan isi rumah kategori golongan pertengahan (M40) dan berpendapatan tinggi (T20) dijangka meningkat dan didorong inflasi barang makanan.

Menurutnya, ketika ini makanan penyumbang terbesar iaitu mencecah 30 peratus perbelanjaan kos sara hidup rakyat, manakala selebihnya disumbang segmen pengangkutan, utiliti, perumahan serta pendidikan.

“Sebab itu, kementerian mengambil persiapan awal berjumpa dengan hypermarket di negara ini dan masih dalam perbincangan agar item pengguna yang paling banyak digunakan seperti mee segera, roti, minyak masak, lampin, sosej dan tepung tidak dinaikkan harga.

“Dalam sebuah hypermarket ada 35,000 hingga 40,000 unit menyimpan stok (SKU). Kalau hypermarket memberi kerjasama dengan tidak menaikkan harga barang popular (40 hingga 50 item), mereka masih ada 30,000 hingga 40,000 item yang masih boleh diniagakan,” katanya ketika berkongsi agenda utama kementerian bagi tahun 2019 dalam Bicara Makan Tengahari “Media dan Kepenggunaan: Perspektif Negara” hari ini.

Saifuddin berkata pihaknya juga dipertanggungjawab melaksanakan dasar kerajaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc sebanyak 30 sen seliter.

Untuk itu, katanya, perbincangan dan rundingan dilakukan oleh Kementerian Kewangan dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan ia dapat dimuktamadkan hujung bulan ini.

“Kementerian akan bekerjasama dengan syarikat terbabit untuk membangunkan sistem dan mekanisme proses pelaksanaan,” katanya.

Loading...

“Kami berharap sistem itu akan berjalan dengan kemas, licin, lancar serta selamat,” katanya, sambil menambah kerajaan juga bercadang untuk menjalankan subsidi bersasar kepada item pengguna yang lain dalam masa akan datang.

Saifuddin turut berkongsi pelaksanaan Food Bank program yang bakal dilancarkan pada 22 Disember nanti, yang membabitkan hypermarket, industri perhotelan, outlet makanan bagi meringankan beban golongan rakyat bawahan yang masih memerlukan sokongan.

Sebagai penyelaras kepada program itu, Saifuddin berkata program itu mempunyai kebaikan iaitu lebihan makanan di rak-rak hypermarket akan dikumpulkan, diagihkan kepada kumpulan penerima yang masih lagi memerlukan bantuan serta menyuburkan program kesukarelawan.

Sementara itu, Saifuddin dalam sidang media berkata persatuan peruncit memberi jaminan bahawa harga barangan kelengkapan sekolah mencukupi dan dijual pada harga munasabah dan berpatutan.

“Dalam pertemuan itu, saya menekankan dua perkara itu dan mereka faham. Namun, kementerian akan melakukan penguatkuasaan dengan melakukan rondaan dan memantau. Kalau pengguna terjejas, maka kementerian tidak ada pilihan lain selain mengambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.-Bernama.