
KPDNHEP Perak pantau harga barangan, perkhidmatan di Pulau Pangkor
Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata pemantauan yang dilakukan pegawai dan anggotanya telah dilaksanakan sejak awal bulan ini dan akan diteruskan pada masa akan datang.
“Kita menjangkakan selepas pengumuman Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai, akan ada peniaga yang mengambil kesempatan (menaikkan harga barangan) sebab kita tahu ramai pelancong datang ke sana dan ada banyak aktiviti perdagangan.
“Kita telah buat kajian, kita ambil harga pada bulan semasa dan kita akan ambil harga pada Januari setiap suku tahun, kita akan ambil harga barang-barang yang melibatkan barang-barang keperluan, barangan yang berkaitan dengan perkhidmatan hotel, restoran, salon dan sebagainya,” katanya.
Saifullizan berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2019 peringkat negeri Perak di Pasaraya Tesco Ipoh di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Pulau Pangkor dan Majlis Perbandaran Manjung bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati dengan mengaut keuntungan tinggi secara tidak munasabah.– BERNAMA