KpePM bersemuka dengan Grab, bawa isu penamatan perkhidmatan pemandu

KpePM bersemuka dengan Grab, bawa isu penamatan perkhidmatan pemandu

Komuniti Pemandu e-Hailing Penggerak Malaysia (KpePM) hari ini, menyerahkan memorandum dan berdialog secara tertutup bersama syarikat pengendali e-hailing iaitu Grab bagi mengetengahkan beberapa isu yang dialami pemandu.

Zulkefli Zainuddin

Pengerusi Komuniti Pemandu e-Hailing Penggerak Malaysia (KpePM), Zulkefli Zainuddin, berkata isu paling serius dibincangkan dalam pertemuan itu adalah berhubung penamatan perkhidmatan seseorang pemandu.

Katanya, isu tersebut agak membebankan pemandu kerana mereka juga telah mengeluarkan modal yang banyak untuk berkecimpung dalam industri e-hailing ini.

“Kami lihat pihak Grab lebih mendengar dan menerima aduan daripada penumpang berbanding mendengar aduan pemandu.

“Grab juga lebih menitik beratkan aduan daripada penumpang berbanding pembelaan untuk pemandu itu sendiri. Justeru, kami berharap pihak Grab dapat meperhalusi perkara tersebut.

“Ini kerana, pemandu tidak akan melakukan sesuatu yang diluar jangkaan melainkan ada unsur provokasi ditujukan kepada mereka. Pemandu mesti mahu menjaga ‘periuk nasi’ mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum dan berdialog secara tertutup di Axis Business Campus, di Petaling Jaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkefli memaklumkan antara masalah lain yang diketengahkan dalam pertemuan itu adalah isu ban, isu butang keselamatan pemandu dan isu komisen yang dipotong oleh pihak Grab.

“Hari ini kita membentangkan masalah pemandu kepada pihak Grab dan syarikat itu meminta masa untuk meneliti masalah yang kami ajukan. Mereka (pihak Grab) nampak positif mendengar masalah kami.

“Apabila pihak Grab memberi jawapan balas terhadap masalah itu nanti, kami akan mengadakan sidang media untuk memberitahu perkembangan terbaharu yang kami perolehi.

“Kami difahamkan pihak Grab memerlukan masa dalam sebulan untuk meneliti perkara ini, tetapi kita tidak memaksa kerana kita bawa lebih daripada 600 pengadu yang mewakili hampir 11 isu besar.

“Jadi kami bagi tempoh sebulan atau dalam masa 70 hari untuk mereka memberi semula maklum balas. Kami juga harus bertimbang rasa dengan pihak pengurusan Grab,” katanya.