KPePM gesa syarikat e-hailing sediakan ‘butang kecemasan’ demi keselamatan pemandu

KPePM gesa syarikat e-hailing sediakan ‘butang kecemasan’ demi keselamatan pemandu

Komuniti Pemandu eHailing Penggerak Malaysia (KPePM) menggesa syarikat e-hailing menyediakan butang kecemasan atau ‘panic button’ demi menjaga keselamatan pemandu.

Pengerusi KPePM, Zulkefli Zainuddin berkata, butang kecemasan itu antara lain berpotensi mengurangkan kerosakan yang mungkin berlaku disebabkan perlakuan jenayah daripada penumpang.

Mengulas lanjut beliau berkata, inisiatif bantuan butang kecemasan itu adalah, untuk mengelakkan berlakunya kes berat seperti pemandu e-hailing dibunuh, selain kereta dilari dan dirosakkan penjenayah.

Sehubungan itu, pihaknya turut mencadangkan supaya syarikat e-hailing mempunyai satu atau dua kakitangan yang sentiasa memantau butang kecemasan tersebut.

“Jika pemandu telah menekan butang kecemasan, petugas wajib mengesan di mana lokasi pemandu tersebut, dan terus berhubung dengan pemandu berkenaan.

“Kemudian, petugas harus mengenal pasti dan menghubungi balai polis yang terdekat dengan pemandu untuk pihak berkuasa datang memberi bantuan.

“Bukan seperti butang yang ada sekarang yang kena tekan kemudian membuat panggilan. Itu bukan butang kecemasan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Bersama Pemandu E-Hailing yang diberhentikan tanpa notis, di Dewan Blok 34, Flat Seri Melaka, Cheras, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Zulkefli berkata, dengan adanya butang kecemasan itu, kerosakan pada bahagian kereta akan dapat dikurangkan.

“Sekiranya bantuan (hasil butang kecemasan) datang dalam jangka masa yang cepat, mungkin kita dapat mengurangkan kerosakan pada kereta kita,” ujarnya.