Malaysia Dateline

KPI qiyadah bukan bagusnya jadi menteri, kata akar umbi AMANAH

Perwakilan Selayang dari Selangor, Dr Adznan Jantan berpendapat sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi pemimpin AMANAH bukan sekadar terletak pada pencapaian di kementerian diterajui semata-mata.

Bekas pensyarah Fakulti Kejuruteraan, UniversitI Putra Malaysia (UPM) itu berkata, qiyadah atau kepimpinan juga dicerminkan melalui sahsiah yang terpuji.

“KPI qiyadah bukan bagusnya jadi menteri. KPI qiyadah sekurang-kurangnya sedikit rakyat Malaysia berbondong-bondong masuk Islam disebabkan keperibadian-keperibadian qiyadah.

“Itulah KPI sebenar seorang pemimpin AMANAH jika kita menghargai kemenangan yang Allah beri pada keputusan PRU-14 lalu,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline pada Konvensyen Nasional AMANAH di Ipoh hari ini.

Mengulas kejayaan Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat ke Putrajaya Mei lalu, bekas ahli Pas lebih 30 tahun itu berkata, hal tersebut adalah pemberian Allah walaupun secara demokrasinya rakyat yang menentukan.

“Bagi saya, fasa kejayaan ini perlu dipelihara, jangan dikhianati. Jangan diulang kesilapan lalu. Apa yang telah AMANAH peroleh perlu diinsafi sebagai satu anugerah daripada Allah.

Sehubungan itu, Dr Adznan berkata, keperibadian kurang baik perlu dibuang dengan mencontohi sifat qiyadah sahabat-sahabat Rasullullah SAW.

“Sekiranya perlu buang misai diganti dengan janggut, buatlah demi Allah. Pemimpin kena bawa qiyadah yang amanah dengan sedikit kekhalifahan.

“Jika kita ada peribadi ‘joker’ contohnya, kena hilangkan. Jika perlu diadakan latihan bina perwatakan baru perlu lakukan demi Islam, Allah dan ummah.

“Ummar terkenal dengan sifat garang dan kasar tetapi berubah apabila menjadi pemimpin. Abu Bakar berperwatakan lembut tapi apabila jadi pemimpin ketika isu riddah, beliau menjadi pemimpin yang tegas dan berbeza perangainya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat pemimpin AMANAH harus mengamalkan sahsiah jamaei secara kekhalifahan antaranya kepimpinan yang tegas dan mengutamakan kepentingan ummah.

“Ahli-ahli AMANAH dan rakyat ini perlu dibawa kepada hala tuju yang terbaik dengan qiyadah yang boleh menjadi teladan tarbiyah untuk anggota.

“Tanggalkan sahsiah buruk, gantikan dengan sahsiah qiyadah jamaah yang boleh dicontohi dan diikuti. Sebaliknya, siapa yang tiada masa untuk membina qiyadah yang terpuji, elok undurkan diri demi Islam.

“Saya mengharapkan ada suasana qiyadah ini nanti dengan membina keserasian dan aura jamaah. Qiyadah perlu diarusperdanakan,” tambah Dr Adznan lagi.