KPJ Healthcare tumpu usaha tarik pelancong perubatan dari Indonesia

KPJ Healthcare tumpu usaha tarik pelancong perubatan dari Indonesia
Sebahagian kakitangan KPJ Healthcare yang hadir dalam majlis bacaan Yasin dan doa selamat yang diadakan semalam.

KPJ Healthcare Bhd akan terus menumpukan pasaran dari Kepulauan Riau, Indonesia, bagi menarik lebih ramai pelancong perubatan asing ke hospital baharunya, Hospital KPJ Bandar Dato’ Onn, dekat sini.

Presiden dan Pengarah Urusannya, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata ini berikutan  kepulauan itu mempunyai bilangan penduduk ramai dengan kira-kira 1.2 juta orang menetap di kawasan Batam sahaja.

Selain itu, jaringan perhubungan terus dari kepulauan tersebut ke Johor juga dilihat sebagai antara faktor  penarik.

“Melihat kepada peluang itu, maka kita akan terus memberi tumpuan kepada pasaran ini pada masa datang.

“Pada masa sama, kita berharap dapat menarik pasaran penduduk setempat dari sekitar kawasan ini (Bandar Dato Onn) dan beberapa daerah berdekatan dengannya seperti Ayer Hitam dan Sedenak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena pembukaan operasi hospital baru itu, di sini, semalam.

Mengulas selanjutnya, Amiruddin berkata di Hospital Pakar KPJ Johor (Abdul Samad) sahaja dianggarkan mencatat tidak kurang 800 pesakit Indonesia setiap bulan yang turut meningkatkan keyakinan terhadap potensi menarik pelancong perubatan dari negara itu.

Terdahulu ketika berucap, beliau menyifatkan pembukaan Hospital KPJ Bandar Dato Onn itu akan mengukuhkan kehadiran dan kedudukan kumpulan KPJ di wilayah selatan.

Malah pembukaan terbaharu itu menjadikan jumlah hospital KPJ di Johor meningkat kepada enam   iaitu Hospital KPJ Bandar Dato Onn, Hospital Pakar KPJ Puteri, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Hospital Pakar KPJ Johor, Hospital Pakar KPJ Kluang dan Hospital Pakar Bandar Maharani, Muar.

Hospital KPJ Bandar Dato Onn setinggi 10 tingkat itu dibangunkan dengan kos melebihi RM250 juta di atas kawasan seluas 5.34 hektar dan merupakan hospital KPJ ke-26 di Malaysia.

Pada peringkat permulaan, ia akan beroperasi dengan 30 buah katil yang akan dipertingkat kepada 150 buah katil secara berperingkat.

Perkhidmatannya pula bertumpu kepada lima teras iaitu perubatan ortopedik, geriatrik, onkologi, kardiologi serta pusat rawatan wanita dan kanak-kanak. -Bernama.