Malaysia Dateline

KPJ tampil mohon maaf, kakitangan pijak kolam Deepavali sudah digantung tugas

Hospital Pakar KPJ Klang hari ini tampil memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia susulan penularan video seorang kakitangannya yang merosakkan hiasan lantai tradisional atau kolam Deepavali.

KPJ dalam kenyataannya petang tadi berkata, individu yang terlibat dalam rakaman itu telah digantung tugas sementara menunggu siasatan selesai.

Pihaknya juga memaklumkan telah membuat laporan polis mengenai insiden itu dan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Kami kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu ini dan pihak terbabit telah digantung kerja sementara menunggu siasatan lanjut.

“KPJ Healthcare Berhad memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kepada masyarakat India, berkaitan dengan video yang telah tular di salah satu premis kami,” katanya.

Pada masa sama, KPJ Healthcare juga menegaskan dengan jelas bahawa pihaknya sama sekali tidak membenarkan tindakan sedemikian yang sama sekali tidak mencerminkan budaya, nilai atau amalan mereka.

Terbaharu, dilaporkan, dua individu yang terlibat direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung tindakan merosakkan hiasan kolam Deepavali di pekarangan hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata kedua-dua suspek berusia 20 dan 30-an itu ditahan kira-kira jam 11 malam kelmarin, selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.