
KPKT bangunkan kerangka Bandar Pintar Malaysia
Kerajaan persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membangunkan kerangka bandar Pintar untuk Malaysia, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.
Beliau berkata kerangka itu terdiri daripada dasar, arahan, strategi, inisiatif dan pelan tindakan dan akan menjadi rujukan dan garis panduan kepada bandar, agensi dan pihak berkepentingan dalam membangun dan melaksanakan penyelesaian praktikal dan mampan dalam menangani cabaran bandar.
“Kerajaan percaya bahawa Bandar Pintar adalah pendekatan generasi akan datang untuk pengurusan bandar bagi mencari penyelesaian terhadap cabaran bandar dan pada asasnya meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Pada masa yang sama, ketika dunia hari ini bergerak ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), trend pembangunan baharu seperti Internet of Things (IoT), Cloud Computing dan Big Data telah menjadi signifikan dan oleh itu, sudah tiba masanya kita melihat Bandar Pintar sebagai cara paling sesuai untuk menangani masalah bandar, ” katanya pada Festival Pemula Niaga Perak 2019 sempena Ekspo Antarabangsa Perak (PIEX 2019) di sini, hari ini.
Teks ucap tamanya dibacakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Inspektorat KPKT, Dr Siti Muhaza Sheikh Zainal.
Raja Kamarul Bahrin Shah menambah kerangka itu membolehkan bandar dan pihak berkepentingan menangani isu-isu urbanisasi melalui inisiatif bandar pintar dan meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup.
Beliau berkata ia juga membantu bagi kerangka tersebut menjadi pemangkin untuk merangsang lebih banyak penglibatan dan penyertaan oleh semua peringkat pemain termasuk usahawan dan syarikat pemula niaga.
“Kumpulan-kumpulan ini sepatutnya menjadi salah satu sumber yang akan menangani cabaran-cabaran bandar.
“Kementerian juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pakar Bandaraya Pintar yang terdiri daripada Pakar-pakar yang akan bertindak sebagai penasihat atau perunding dan membantu Kerajaan Tempatan dalam melaksanakan inisiatif bandar pintar,” katanya.
Beliau berkata kerajaan menggalakkan industri tempatan termasuk syarikat pemula niaga dan usahawan untuk bekerjasama dalam melaksanakan inisiatif Bandar Pintar di pelbagai peringkat.
“Usaha oleh semua akan mewujudkan ekonomi progresif ke arah merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama,” katanya.