Malaysia Dateline

KPKT kaji mekanisme sesuai atasi tabiat merokok dalam tandas

Pemasangan alat pengesan asap di tandas awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mungkin antara mekanisme yang boleh digunakan untuk mengatasi tabiat perokok yang gemar merokok di dalam tandas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata kementeriannya akan melakukan kajian terperinci bagi mengenal pasti mekanisme yang sesuai untuk mengatasi masalah itu.

“Mungkin boleh pasang alat pengesan asap sebab di dalam tandas tidak boleh pasang CCTV (Kamera Litar Tertutup) tetapi kita perlu lakukan kajian daripada sudut ekonomi mengenai keberkesanannya.

“Untuk melaksanakannya (pengesan asap) mungkin memerlukan kos yang tinggi dan mengambil masa kerana perlu menaik taraf banyak tandas dengan pengesan asap,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 dan melancarkan aplikasi berkenaan di Stadium Indera Mulia semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tandas yang menjadi tumpuan perokok selepas larangan merokok diperkenalkan di premis makanan mulai tahun ini.

Selain itu, katanya mungkin kempen kesedaran boleh dilakukan bagi mengurangkan perokok yang menjadikan tandas sebagai lokasi untuk mereka merokok.

“Kita akan mengkaji dan berkemungkinan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan tabiat merokok ini akan mengambil masa untuk dibanteras kerana ia sudah menjadi kebiasaan,” katanya.

— BERNAMA