Malaysia Dateline

KPKT komited teruskan projek PPR

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk meneruskan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) selaras dengan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) di mana keluasan baharu PPR adalah 900 kaki persegi.

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi mendapatkan cadangan tapak tanah kerajaan negeri.

“Kerjasama bagi mendapatkan cadangan tapak tanah kerajaan negeri adalah untuk meneruskan projek PPR yang telah diluluskan.

“Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga 30 September tahun ini, KPKT telah meluluskan sebanyak 15 projek PPR baharu bagi tahun 2019. Namun begitu, projek-projek ini belum melalui proses perolehan untuk pelantikan kontraktor.

“Proses perolehan tersebut masih tertangguh kerana sebahagian besar tapak cadangan PPR itu adalah milik persendirian yang mana tidak membolehkan tender terbuka dilaksanakan.

“Hal ini adalah selaras dengan arahan Kementerian Kewangan (MOF) bertarikh 29 Jun 2018 supaya setiap perolehan kerja bagi projek kerajaan hendaklah dilaksanakan secara tender terbuka,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Tan Sri Noh Omar.

Noh Omar (BN-Tanjong Karang) meminta Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin (PH-Ampang) menyatakan daripada 9 projek PPR yang telah diumumkan untuk diteruskan oleh kerajaan PH (berapa projek yang telah mula dibina).