Malaysia Dateline

KPKT lulus peruntukan RM10 juta untuk Sungai Lembing, Bandar Kuantan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM10 juta bagi pembangunan semula Sungai Lembing yang musnah akibat kebakaran besar Ogos lalu, selain untuk kerja menaik taraf beberapa lokasi sekitar bandar Kuantan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata bagi pembangunan Sungai Lembing, pihaknya mencadangkan penubuhan sebuah komuniti yang diketuai Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dengan penglibatan Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) di bawah kementeriannya.

“Penubuhan komuniti itu bagi meneliti perancangan semula tapak kebakaran dan kawasan sekitar di pekan Sungai Lembing supaya ia dilaksanakan dengan terancang dan masih mengekalkan nilai sejarah yang menjadi tarikan pelancong ke sini.

“Banyak pihak yang tampil dengan cadangan perancangan membina semula pekan Sungai Lembing termasuk daripada pihak Universiti Kyoto di Jepun yang kebetulan ada membuat lawatan ke sini seminggu sebelum kebakaran.

“Apabila mereka mendengar berita tragedi itu, mereka membuat kertas cadangan agar tapak itu dijadikan dataran untuk pelancong. Kita lihat penubuhan komuniti ini membolehkan idea daripada pelbagai pihak disatukan supaya lebih menarik,” katanya.

Zuraida berkata demikian pada sidang media selepas meluangkan masa selama sejam melawat dan meninjau kawasan kebakaran, perpustakaan dan lokasi pelancongan Sungai Lembing, yang merupakan peninggalan bandar perlombongan bijih timah.

Turut hadir ialah Yang Dipertua MPK Datuk Hamdan Hussin, Pegawai Daerah Kuantan Datuk Nor Asmaliza Ku Lah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Abd Wahab Mat Yasin.

Kebakaran pekan Sungai Lembing pada awal pagi 31 Ogos lalu mengorbankan sepasang suami isteri warga emas, selain memusnahkan 33 unit premis terdiri daripada 19 rumah kedai dua tingkat, 13 rumah dan sebuah perpustakaan.

Selain itu, Zuraida memaklumkan MPK juga membentangkan cadangan menaik taraf gerai sedia ada kepada pasar khinzir di Kampung Baru Teruntum di sini dan kerja mengindahkan beberapa lokasi strategik daerah ini, yang akan dinaik taraf secara rasmi sebagai bandar tidak lama lagi.

“Kita akan pusatkan pasar khinzir ini supaya mempermudahkan mereka yang membelinya dan dalam masa sama, tidak mengganggu pihak yang lain supaya tiada yang kurang senang, bagi kita memelihara keharmonian sedia ada,” katanya.

Zuraida berkata projek lain bagi mengindahkan Kuantan juga melibatkan kawasan sekitar Menara Teruntum yang menjadi mercu tanda baharu Kuantan, selain kerja melukis mural di bangunan terpilih.