Malaysia Dateline

KPKT pertimbang wujud penempatan semula untuk pelarian UNHCR

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji idea mewujudkan perkampungan penempatan semula untuk mengumpulkan semula pelarian yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang bertaburan di seluruh negara.

Bercakap kepada Bernama, Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata langkah itu bukan sahaja memudahkan pemantauan pelarian sedia ada khususnya Rohingya, tetapi pada sama, ia akan membolehkan komuniti berkenaan mendapat akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Sekiranya kita boleh menubuhkan satu kawasan yang ditetapkan atau perkampungan untuk mereka dengan kemudahan seperti sekolah dan untuk memberi mereka orientasi kepada gaya dan budaya Malaysia agar mereka dapat ‘bercampur’, kita sebenarnya boleh membantu mereka.

“Dengan cara ini, kita juga boleh menggunakan tenaga kerja mereka dalam beberapa sektor berbanding hanya bergantung kepada pekerja asing. Kita boleh meminimumkan kemasukan pekerja asing dengan memanfaatkan komuniti pelarian,” katanya semalam.

Idea itu bagaimanapun, belum dibincangkan di peringkat Kabinet, katanya.

Zuraida ditemui selepas menjadi seorang daripada penceramah program syarahan bertajuk ‘Mainstreaming Disaster Resilience Attributes at the Local Government Level’ yang merupakan sebahagian daripada Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa 2019 selama tiga hari yang berakhir semalam, anjuran Mercy Malaysia.

Zuraida juga menegaskan sudah tiba masanya untuk memperkasakan dan melatih masyarakat tempatan dalam pengurusan bencana bagi meningkatkan pengetahuan dan kesediaan mereka dalam menghadapi kejadian tidak diingini seperti banjir dan tanah runtuh.

“Sebaik sahaja mereka diberi kuasa, mereka akan tahu apa yang perlu dilakukan sebagai responden pertama apabila bencana berlaku dan apa tindakan segera yang harus dilakukan,” katanya sambil menegaskan bahawa masyarakat juga boleh menjadi kumpulan sokongan kepada mangsa-mangsa– BERNAMA