Malaysia Dateline

KPKT tiada ‘locus standi’ pilih peguam buat keluarga Adib, kata Peguam

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mempunyai hak untuk menetapkan peguam yang akan mewakili keluarga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang meninggal dunia dalam kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini.

Seorang peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Buzze Azam berkata, hanya keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang mempunyai hak untuk melantik mana-mana peguam atas pilihan mereka sendiri.

“Kementerian itu tiada locus standi untuk melantik peguam bagi pihak keluarga Allahyarham Adib.

“Adalah satu pelanggaran etika tatatertib profesionalisme guaman untuk seseorang peguam bertindak tanpa menerima mandat lantikan yang sah daripada keluarga Allahyarham Adib sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin pada Isnin memaklumkan menerusi satu kenyataan media telah melantik peguam pemerhati untuk keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 9.41 malam Isnin lepas.

Pada Ahad, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu kenyataan lengkap berhubung siasatan termasuk laporan perubatan forensik akan dikeluarkan oleh pihak polis dalam tempoh beberapa hari lagi.