Malaysia Dateline

KPLB bayar elaun MPKK Sarawak

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membayar elaun bulanan kepada pengerusi dan setiausaha Majlis Pengerusi Komuniti Kampung (MPKK) sebanyak RM500 dan RM300.

Ia sekali gus menolak berita yang ditularkan dalam media sosial oleh sesetengah pihak bahawa jawatan pengerusi bakal menerima imbuhan sebanyak RM3,500.

Pakatan Harapan (PH) Sarawak menerusi kenyataan bersama terdiri daripada Setiausaha PKR Negeri, Vernon Kedit, Setiausaha Amanah Negeri, Abang Abdul Halil Abang Naili, Setiausaha DAP Negeri, Alan Ling dan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Suffian menjelaskan juga bahawa setiausaha MPKK menerima RM300 sebulan, bukan RM2,300.

Ahli-ahli Jawatankuasa MPKK tidak menerima apa-apa elaun bulanan tetapi bagi setiap mesyuarat yang mereka hadiri menerima elaun kehadiran RM50 dan MPKK mestilah tidak mempunyai lebih daripada enam mesyuarat setiap tahun.

“Elaun ini dibayar oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Putrajaya serta dimasukkan terus ke akaun bank pemegang jawatan MPKK dan bukan melalui Pejabat Daerah atau Residen di Sarawak,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

” Kami ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa model MPKK untuk Sarawak berbeza dari model yang dijelaskan dalam halaman Tatacara MPKK di laman sesawang Kementerian Pembangunan Luar Bandar, yang terpakai di negeri-negeri dikuasai PH,” tegas kenyataan Itu.

Borang permohonan untuk MPKK Sarawak boleh didapati dari wakil-wakil parti PH.

Manakala, borang di laman web Kementerian Kemajuan Luar Bandar tidak berkenaan dengan Sarawak.

Mengulas lanjut, mereka menyatakan, kekecewaan dengan pelbagai berita palsu yang ditularkan di media sosial sejak akhir-akhir ini oleh pihak tidak bertanggungjawab mengenai mekanisme dan skim pembayaran MPKK.

“Kami berharap agar orang ramai serta masyarakat di negeri ini tidak terpengaruh dengan dakyah yang ditularkan oleh pihak-pihak yang cuba menjejaskan perancangan Kerajaan Persekutuan dalam memberi pembangunan di seluruh Sarawak, ” jelas kenyataan Itu.