Malaysia Dateline

KPM akur, murid belum ada uniform dibenar ke sekolah dengan pakaian sesuai

Murid-murid yang masih belum mempunyai pakaian seragam sekolah diberi kebenaran memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah, demikian menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),

Kebenaran ini katanya, akan diberikan bermula 1 Mac sehingga 26 Mac 2021 iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan tahun 2021.

“KPM berharap kebenaran ini akan membolehkan semua murid kembali hadir ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemukam” katanya dalam kenyataan.

Susulan Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolah bersemuka akan dibuka pada Mac ini bagaimanapun ramai ibu bapa mengeluh kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli pakaian uniform sekolah anak-anak.

Ini kerana sebelum ini, ibu bapa sudah bergolak-gadai untuk membeli alat peranti serta melanggan internet bagi memudahkan anak-anak mereka mengikuti kelas PdPR.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak ramai menyediakan pakaian uniform sudah tentu ianya membebankan.