Malaysia Dateline

KPM didesak pastikan guru antara kumpulan utama terima vaksin

Menteri Pendidikan didesak untuk memastikan guru-guru antara kumpulan yang akan diutamakan dalam rancangan imunisasi Covid-19, susulan beberapa insiden guru didapati positif jangkitan berkenaan ketika sesi pembukaan sekolah.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (gambar) berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pembukaan semula institusi pendidikan ekoran perkembangan pembelajaran di rumah selama setahun masih lagi di bawah paras memuaskan kerana kekurangan kelengkapan belajar yang tidak dapat dipenuhi para pelajar.

Kata Ahli Parlimen Kulai itu, saat ini ibu bapa perlu diyakinkan bahawa langkah-langkah perlindungan telah diambil oleh pihak kementerian bagi memastikan keselamatan anak-anak mereka apabila kembali ke sekolah.

“Setelah melaksanakan pembelajaran di rumah selama hampir setahun, persiapan dan kesediaan pelajar untuk belajar di rumah masih di bawah paras yang memuaskan.

“Sehingga hari ini, masalah kritikal ketika pembelajaran di rumah juga masih belum ditangani.

“Oleh itu, pembukaan semula sekolah harus menjadi salah satu keutamaan kerajaan. Suntikan vaksin kepada guru adalah langkah penting untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk pelajar dan menjamin kestabilan dalam ekosistem pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Disember lalu, UNICEF turut menggesa agar para guru diutamakan untuk menerima vaksin Covid-19, setelah petugas kesihatan barisan hadapan dan golongan yang berisiko tinggi diberikan vaksin.

Ini kata Teo, pasti akan membantu melindungi guru dari virus, memudahkan mereka mengajar secara langsung, dan akhirnya membuka sekolah yang akan membolehkan ibu bapa dan segmen masyarakat yang lebih besar secara beransur-ansur kembali ke keadaan normal.

Beliau juga mengambil contoh beberapa Menteri luar negara iaitu Menteri pendidikan Britain, Gavin Williamson yang mengesyorkan agar guru diutamakan untuk vaksin.

Di Ireland Utara, atas permintaan Menteri Pendidikan Peter Weir, mereka yang bekerja di sekolah khas juga akan diutamakan untuk mendapat vaksin Covid-19.

“Tetapi di Malaysia, Menteri Pendidikan masih membisu untuk bersuara. Saya mendesak Menteri Pendidikan untuk menunjukkan kepemimpinan dan mendesak kerajaan untuk memulai perjalanan pemulihan yang berkesan,” katanya lagi.