Malaysia Dateline

KPM didesak tangani isu guru terbeban dengan tugas warden asrama

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa agar kerajaan segera mengumumkan langkah penyelesaian terhadap permasalahan guru yang terbeban dengan tugas sebagai warden di sekolah-sekolah berasrama penuh.

Menurut JKPPH, mereka mengambil maklum adanya usaha awal KPM untuk mengatasi masalah ini namun sehingga hari ini masih belum ada keputusan yang jelas dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Memandangkan hujung minggu ini proses kemasukan pelajar asrama akan berjalan, JKPPH mencadangkan beberapa perkara bagi pertimbangan pihak KPM antaranya menaikkan elaun warden kepada guru yang memikul tugas tersebut.

“Dalam masa terdekat, tindakan awal dan wajar KPM adalah dengan menaikkan elaun warden kepada guru yang memikul tugas tersebut

“Selain itu JKPPH mencadangkan agar jawatan warden sepenuh masa di asrama dilantik oleh bukan guru di mana kedudukannya sama dengan kedudukan jawatan jurulatih sepenuh masa, kaunselor berdaftar dan pembantu makmal.

“Manakala guru warden boleh dilantik dalam kalangan guru akademik (jumlah masa mengajar dikurangkan) yang bertugas memimpin dan memantau warden sepenuh
masa di asrama,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama anggota JKPPH, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Setiawangsa,Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail; Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju Naidu; dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai.

Sementara itu, Jawatankuasa PH turut menyarankan bahawa jumlah warden dengan nisbah jumlah pelajar mestilah realistik dan mencukupi.

Mereka turut mendesak agar KPM bertindak sesegera mungkin bagi memastikan bebanan guru dikurangkan secepat mungkin.

Baca juga: Kerajaan digesa beri subsidi pada petani ekoran kenaikan harga baja di peringkat global

Baca juga: Airbnb bertahan lebih baik berbanding industri pelancongan