Malaysia Dateline

KPM harus pastikan keselamatan pelajar, guru terjamin

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus menyelaraskan peraturan tertentu bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru sebelum pembukaan semula sekolah di negeri-negeri yang berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) terjamin.

Pengerusi Persekutuan Lembaga Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Jonathan Chai Voon Tok berkata, walaupun Sarawak kini berada dalam fasa ketiga PPN, masih ada beberapa kawasan terutama di bahagian selatan telah mencatatkan angka mendadak penularan kes positif Covid-19 setiap hari.

Jelas beliau, inisiatif membenarkan pelajar kembali ke sekolah bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran adalah langkah terbaik namun peraturan tertentu harus diselaraskan supaya keselamatan pelajar dan guru dapat dipertingkatkan terutama di sekolah-sekolah yang berada dalam kawasan berisiko tinggi.

“Sehubungan itu, saya menyarankan agar pembukaan sekolah di beberapa kawasan tersebut ataupun kawasan yang berada dalam ‘zon merah’ perlu ditangguhkan terlebih dahulu untuk keselamatan bersama,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuching hari ini.

Justeru, katanya, pelajar yang telah lengkap menerima dua dos vaksinasi sahaja perlu dibenarkan kembali ke sekolah dan ia disarankan supaya dijadikan antara prasyarat untuk pelajar kembali ke sekolah.

Dalam pada itu tambahnya, pelaksanaan sistem pergiliran dengan kapasiti 50 peratus pelajar hadir ke sekolah bagi pembelajaran bersemuka sementara 50 peratus lagi meneruskan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan menjadikan ruang peredaran udara dalam sesebuah kelas menjadi lebih besar selain dapat menjaga penjarakkan sosial dalam kalangan pelajar.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan sistem tersebut juga akan menyukarkan guru terutama untuk berinteraksi dan memantau pelajar-pelajar yang menghadiri kelas secara fizikal dan juga mereka yang menghadiri sesi pengajaran secara dalam talian.

“Pelaksanaan pelarasan peraturan tersebut perlu dilaksanakan susulan berlakunya peningkatan kes terutama melibatkan virus varian Delta yang sangat berbahaya di Sarawak. Justeru itu, saya menyarankan agar hanya pelajar yang telah diberi dua dos vaksin lengkap sahaja dibenarkan untuk kembali ke sekolah kelak,” ujarnya.

Jonathan turut berharap agar kesemua sekolah wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan selain pemberian bekalan alat ujian saringan Covid-19 sebagai keperluan juga harus diberikan kepada semua tenaga pengajar sebagai persediaan untuk mengesan kes positif dalam kalangan pelajar kelak.

“KPM) juga dinasihat supaya menghormati pilihan dan hak ibu bapa dalam memutuskan sama ada akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah atau pun tidak.

“Saya turut berharap agar program vaksinasi untuk remaja antara 12 hingga 17 tahun dapat dipercepatkan selain berharap agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan program pemberian vaksin untuk anak-anak di bawah usia 12 tahun setelah terbukti selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak yang bertanggungjawab,” tambahnya.