Pemuda Amanah sambut baik arahan KPM henti mesyuarat untuk solat

Pemuda Amanah sambut baik arahan KPM henti mesyuarat untuk solat

Pemuda Amanah Nasional merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi Pendidikan), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Ahmad Tajudin Jab yang menyarankan agar menghentikan sebarang mesyuarat apabila masuk waktu solat bagi memberi ruang kepada kakitangan yang beragama Islam menunaikan solat.

Arahan itu membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata Pemuda Amanah berpendapat adalah wajar arahan tersebut dikeluarkan kerana tuntutan sebagai seorang muslim adalah selari dengan syariat yang telah ditetapkan dan tidak seharusnya dilengah-lengahkan.

Bagaimanapun Pemuda AMANAH Nasional menyarankan agar pekeliling khusus ditetapkan oleh KPM dan seterusnya akan menjadi motivasi yang baik kepada seluruh kakitangan kerajaan mahupun swasta yang lain

“Oleh yang demikian dengan mematuhi syariat, kakitangan pendidikan akan menjadi lebih tenang dan bersemangat dalam bekerja.

“Saranan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi Pendidikan) kepada kakitangan pendidikan akan menjadi contoh kepada anak-anak murid seluruh sekolah dan seterusnya akan dipraktikkan secara terus di rumah atau dimana sahaja mereka berada.

“Sudah menjadi lumrah manusia apabila terlalu fokus dengan kerja maka ada perkara lain yang dilupai antaranya menunaikan solat.Bagi mendidik agar kehidupan diberkati maka Pemuda Amanah menyambut baik saranan tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Segala usaha kerajaan katanya, bagi menjadikan seseorang muslim itu sebagai muslim yang sejati, Pemuda Amanah sentiasa menyokong penuh dan memandang dari sudut positif.

Pada Rabu lalu, Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata, sebagai umat Islam, tuntutan untuk mengerjakan ibadah itu adalah penting dan perlu dilakukan tepat pada waktunya ketika beliau merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Anugerah Surau Imarah Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan di Putrajaya.

TAGS