KPM mungkin tukar guru enggan divaksin ke negeri lain

Oleh ARIF ATAN

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mempertimbang keperluan untuk menukar guru-guru yang enggan menerima vaksin ke sekolah atau negeri lain.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, langkah itu bagi mengelak guru-guru terbabit berinteraksi secara langsung dengan murid dan dalam masa yang sama tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Ada juga guru yang merupakan guru yang satu-satunya mengajar mata pelajaran tersebut tidak mahu divaksin… dan ada dua orang yang ditugaskan mengajar mata pelajaran tersebut, dan dua-dua tidak mahu divaksin.

“Kalau ini yang berlaku, maknanya ini akan menjejaskan pelajaran anak-anak kita di sekolah. Sebab itu demi menjaga perkhidmatan, kita akan mengambil tindakan buat masa ini.

“Kita melihat bagaimana untuk bawa keluar guru-guru ini dan menukarkan mereka kepada tempat-tempat yang lebih sesuai dan ini mungkin melibatkan pertukaran di antara negeri sebagai contoh,” katanya.

Radzi berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Kolej Vokasional Langkawi, hari ini.

Menurut Radzi, meskipun jumlahnya kecil tetapi setelah diselidik, pihaknya mendapati perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan.

“Dan kita akan mengambil tindakan dengan segera, kerana kita telah memohon jasa baik guru-guru ini untuk divaksin dalam tempoh yang panjang,” kata pemimpin Bersatu itu lagi.

Mengulas lanjut, jumlah guru yang enggan divaksinasi telah menurun daripada angka 2,500 ke sekitar 2,000 sahaja selepas menjalani beberapa proses kaunseling dari pelbagai pihak.