Malaysia Dateline

KPM perlu telus kongsi data kes COVID-19 di sekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa untuk berkongsi data dengan orang awam berhubung kes Covid-19 di sekolah-sekolah susulan beberapa pusat persekolahan di seluruh negara telah terlibat dengan kes aktif jangkitan berkenaan.

Jawatankuasa Pendidikan Blok Pembangkang berkata, ibu bapa dan masyarakat tempatan mula merasa resah jika sekolah menjadi pusat penyebaran jangkitan dan mewujudkan kluster baharu.

Katanya, punca keresahan itu timbul disebabkan tiadanya perkongsian data oleh KPM berkenaan sekolah yang terlibat dengan jangkitan Covid-19 dan tiada ruang untuk masyarakat setempat melibatkan diri dalam melindungi sekolah di kawasan masing-masing.

“Kerajaan telah menyeru rakyat untuk memberi kerjasama melawan Covid-19. Namun rakyat, warga sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat tidak diberi kuasa, ruang, dan sumber untuk melibatkan diri dalam usaha melindungi sekolah dan anak-anak kita.

“KPM perlu telus dalam memberikan maklumat kepada awam mengenai kes Covid-19 di sekolah.

“Perkongsian data ini akan memudahkan semua pihak untuk menjadi lebih bersedia melawan Covid-19 di kawasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 20 Februari lalu, pembangkang telah menggesa kerajaan untuk memberi autonomi kepada pihak sekolah yang merangkumi pengurusan sekolah, PIBG dan Lembaga Pengarah untuk membuat keputusan bersama dalam menentukan buka atau tutup sekolah di kawasan masing-masing.

Ketika ini jawatankuasa itu berpendapat, gesaan ini perlu dilaksanakan dengan kadar segera.