Malaysia Dateline

KPM, SPP digesa adakan dialog dengan calon CoS 2021 yang gagal dalam pengambilan guru kontrak

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) digesa untuk mengadakan dialog dan perjumpaan dengan calon-calon guru kontrak perkhidmatan (CoS) 2021 susulan pengumuman keputusan temuduga pada 28 Mei lalu.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Teo Nie Ching bertanya, adakah benar lebih 90 peratus calon CoS berkelayakan yang telah ditemuduga pada November tahun lalu, gagal dalam pengambilan sebagai guru kontrak.

Menurutnya, kerajaan melalui KPM perlu menjawab segala pertanyaan calon-calon guru kontrak yang gagal dalam pengambilan tersebut.

“Calon CoS 2021 telah menunggu selama 6 bulan untuk dapat keputusan temuduga. Adakah layanan sebegini adil dan wajar?

“(KPM perlu jawab) adakah benar bahawa kuota asal 5,000 telah dikurangkan kepada 2,400? Jika ya, apa sebab kuota dikurangkan?

“Adakah benar bahawa jumlah yang lulus bagi setiap opsyen sangat sedikit sampai ada opsyen yang langsung tiada seorang pun lulus temuduga, contohnya bagi opsyen Bahasa Melayu?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu Teo menggesa KPM dan SPP supaya mengadakan dialog dengan calon-calon CoS 2021 dengan segera supaya soalan-soalan tersebut dan pertanyaan lain boleh dijawab dan dijelaskan secara profesional dan telus.

Ahli Parlimen Kulai itu juga memberi amaran agar kerajaan tidak merampas pucuk harapan anak-anak muda untuk mengejar cita-cita mendidik anak bangsa.

Baca juga: Ambil kesempatan bekalan ayam kurang, scammer tipu pelanggan jual ayam murah di FB

Baca juga: Ingin menghapus data digital dengan selamat, di Jepun hanya perlu bayar RM3.44 sahaja