KPM ubah skop kontrak KBK selari dasar optimumkan penggunaan sumber kewangan

KPM ubah skop kontrak KBK selari dasar optimumkan penggunaan sumber kewangan

Kementerian Pendidikan mengubah skop kontrak kebersihan bangunan dan kawasan (KBK) bagi syarikat-syarikat yang kontraknya berkuat kuasa pada 1 Januari, selari dengan dasar mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan kerajaan yang diamalkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan berkata skop kontrak perkhidmatan tersebut hanya melibatkan syarikat-syarikat baharu bagi menggantikan syarikat-syarikat yang telah tamat kontrak mereka pada 31 Dis 2018.

Mengikut skop lama, penentuan bilangan pekerja mengambil kira enrolmen murid dan penghuni asrama namun kriteria tersebut tidak lagi digunakan sepenuhnya dalam penentuan bilangan kontrak KBK bermula 1 Januari tahun ini, katanya.

“Dengan ini, bilangan pekerja kebersihan yang ditetapkan adalah sekurang-kurangnya dua orang bagi Sekolah Kurang Murid (SKM) iaitu sekolah yang mempunyai 150 orang murid dan kurang, mengambil kira keperluan minimum iaitu seorang pekerja bagi pembersihan bangunan dan seorang pekerja bagi pembersihan kawasan dan landskap sekolah.

“Bagaimanapun bagi sekolah bukan kategori SKM, bilangan pekerja bergantung kepada keluasan sekolah, bilangan blok, aras setiap blok dan bilangan bilik air,” katanya.

Menurut kementerian itu, syarikat-syarikat yang terlibat biasanya boleh mengatur pekerja-pekerjanya mengikut keperluan kontrak kerja, yang tidak hanya bergantung kepada projek kebersihan sekolah bagi menempatkan pekerjanya.

Berhubung isu pembuangan atau pengurangan pekerja-pekerja kebersihan, Kementerian Pendidikan berkata ia tidak terlibat dengan penamatan mahupun pengambilan mana-mana pekerja kebersihan sebaliknya dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak.

Ia berkata jumlah tenaga kerja yang digunakan bergantung kepada syarikat-syarikat yang dilantik untuk menyediakan perkhidmatan kerja-kerja KBK bagi sekolah atau institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan dan syarikat-syarikat tersebut perlu mematuhi syarat dan skop yang ditetapkan dalam kontrak.

Loading...

Berhubung pandangan supaya murid turut melaksanakan kerja-kerja pembersihan, Kementerian Pendidikan berkata ia tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan berhubung perkara tersebut.

Bagaimanapun, kementerian itu tiada halangan sekiranya terdapat sekolah yang ingin menugaskan murid bagi melaksanakan kerja pembersihan yang mudah, dengan pengawasan guru dan tidak mengabaikan aspek keselamatan tetapi bukan dengan tujuan menggantikan pekerja kebersihan.

“Amalan menjaga kebersihan ini boleh menjadi sebahagian daripada pendidikan dan langkah penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan murid sekolah, seterusnya dapat diaplikasi dalam kehidupan mereka,” katanya.

Sebuah akhbar melaporkan Kementerian Pendidikan membatalkan 406 tender membabitkan pelbagai perkhidmatan membekal makanan bermasak, perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan serta perkhidmatan kawalan keselamatan  di sekolah seluruh negara termasuk beberapa Kolej Matrikulasi.

Laporan media menyatakan empat notis dikeluarkan berhubung perkara terbabit dengan notis pertama membabitkan pembatalan tender perkhidmatan membekal makanan bermasak ke asrama sekolah (BMB), KBK dan kawalan keselamatan (PKK).

— BERNAMA