Malaysia Dateline

KPM usaha beri peruntukan kepada sekolah agama rakyat

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berusaha untuk memberi peruntukan kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama persendirian dalam belanjawan tambahan kelak.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata kedua-kedua jenis sekolah berkenaan tidak termasuk dalam kategori sekolah pondok dan sekolah tahfiz tetapi merupakan sekolah agama yang menggunakan kurikulum kebangsaan dan ada tambahan pelajaran agama.

Kebanyakan sekolah berkenaan diuruskan oleh kerajaan negeri, masyarakat setempat atau pihak swasta, katanya pada pemberita selepas merasmikan Forum Bahasa Jiwa Bangsa 2018 di sini, hari ini.

Maszlee berkata:”Antaranya kita boleh lihat seperti Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor Bahru dan kalau di sini kita ada Sekolah Menengah Al Amin, Gombak.

Jumlah mereka lebih 1,000 buah sekolah dalam kategori yang sama. Mereka agak ketinggalan dalam belanjawan baru ini jadi kita akan cuba kemukakan dalam belanjawan tambahan agar sekolah agama rakyat menerima bantuan yg sama.”

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim.

— BERNAMA