Malaysia Dateline

KPMNJ disaran libatkan diri dalam sektor minyak dan gas

Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad (KPMNJ) disarankan agar melibatkan diri dalam perniagaan berskala besar seperti sektor gas dan minyak di kawasan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, Kota Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sumber Manusia Sains dan Teknologi Negeri Aminolhuda Hassan berkata penyertaan itu bagi memastikan mereka dapat keluar daripada kitaran zon selesa, serta untuk kekal relevan dalam pasaran semasa.

Tambahan, sektor gas dan minyak itu katanya sentiasa berterusan selama puluhan tahun, sekaligus akan memberi manfaat berpanjangan kepada anggota koperasi.

‚ÄúCadangan ini juga bertepatan dengan matlamat dan sasaran kerajaan negeri untuk menjadikan bangsa Johor maju dan berprestasi tinggi,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan KPMNJ kali ke 24 di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi KPMNJ, Ahmad Daud berkata pihaknya akan melakukan kajian kesesuaian berhubung penglibatan dalam sektor itu, serta beberapa sektor lain termasuk pertanian dan pembangunan hartanah.

“Dari segi pembangunan hartanah, kita bercadang untuk mendirikan projek bangunan bercampur bernilai RM150 juta di sebuah tanah berkeluasan 1.01 hektar di Taman Tampoi Indah,” katanya.

Katanya, projek bangunan 25 tingkat yang mengambil masa dua tahun setengah untuk disiapkan itu, adalah kerjasama pihaknya dengan syarikat swasta dan akan turut memberikan peluang kepada anggota KPMNJ untuk memiliki kediaman dan premis perniagaan pada harga menarik.

— BERNAMA