Malaysia Dateline

KPN digesa perjelas status siasatan video intim mirip Azmin

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menjelaskan perkembangan terkini siasatan terhadap isu rakaman video intim yang didakwa membabitkan Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Gesaan tersebut sehari selepas Azmin mendakwa “amalan seksual yang tidak bermoral” dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi punca dia hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR itu.

“Saya ingin bertanya kepada ketua polis Negara: apakah status kes itu kini?

“Setahun berlalu, adakah polis masih gagal menemui sebarang bukti untuk mengesahkan identiti pelaku?” soal Naib Ketua AMK Kebangsaan, Syed Badli Shah Syed Osman dalam kenyataan hari ini.

Azmin sebelum ini dalam pernyataan pembelaan berhubung saman yang difailkan 10 pengundi Parlimen Gombak memberitahu hilang kepercayaan terhadap Anwar merupakan salah satu sebab dia meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu.

Azmin kini Ketua Penerangan PN dan Pengarah Pilihan Raya PN bagi mengetuai persediaan jentera pilihan raya parti.

Pemimpin yang dikatakan antara pemain utama Langkah Sheraton dalam pembelaan yang difailkannya berkata, Anwar langsung tidak berkelayakan dan bukan orang yang sesuai untuk memimpin PKR serta menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Syed Badli berkata, Azmin tidak layak menuduh orang lain dengan dakwaan tidak bermoral sedangkan dia sendiri dikaitkan dengan pelbagai masalah moral.

“Pengkhianatan terhadap PKR dan pengundi Gombak adalah salah satu bukti yang dia bukan manusia yang bermaruah.

“Malahan, sehingga ke hari ini Azmin masih gagal menafikan, bahkan tiada langsung sebarang usaha untuk membersihkan namanya yang terkait dengan skandal video seks luar tabii yang tular sebelum ini,” katanya.

Dalam masa sama, Syed Badli Shah berkata, walaupun siasatan kes berkenaan tidak dapat diteruskan kerana faktor teknikal, tidak bermakna ia sudah ditutup sebaliknya boleh dibuka semula dengan adanya bukti baharu.

Abdul Hamid Bador dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 13 Januari 2020 menegaskan siasatan kes rakaman video intim dikaitkan dengan Azmin itu tidak ditutup sebaliknya diteruskan jika mempunyai bukti baru.

Sebelum itu, Tommy Thomas ketika menjadi Peguam Negara dalam satu kenyataan, 9 Januari 2020 memaklumkan pihaknya tidak akan membuat apa-apa pertuduhan terhadap mana-mana pihak berhubung video kontroversi itu.

Ekoran video itu, Anwar pernah mencadangkan Azmin untuk meletakkan jawatan jika video intim yang didakwa miripnya dibuktikan benar.

Skandal seks songsang yang memaparkan dua lelaki dalam sebuah bilik hotel di Sabah itu hangat diperkatakan pada 2019 apabila bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil mengaku sebagai individu dalam video itu.

Walau bagaimanapun, Azmin kemudiannya menafikan tuduhan tersebut dan menganggap penyebaran rakaman video itu sebagai tindakan menjatuhkan karier politiknya dalam PKR.