KPN sahkan terima audio konspirasi jenayah babitkan Najib, tujuh individu

KPN sahkan terima audio konspirasi jenayah babitkan Najib, tujuh individu

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima sembilan rakaman audio konspirasi jenayah tertinggi melibatkan rakaman perbualan telefon tujuh individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador, yang memaklumkan perincian audio berkenaan akan disiasat dari setiap sudut.

“Kesemua sembilan klip, kita akan jalankan siasatan dari semua ‘angle’ termasuk daripada mana audio diperolehi, macam mana diperolehi, (dan sama ada) kandungan audio tersebut adakah ia autentik atau tidak.

“Kita akan menjalankan siasatan dibawah beberapa Seksyen¬† kanun jenayah, termasuk seksyen 203 berhubung dengan penjawat yang mendedahkan siasatan rasmi kepada pihak yang tidak sepatutnya didedahkan.

“Seterusnya, siasatan 218 kanun keseksaan, penjawat awam yang membentuk satu rekod atau tulisan yang tidak betul untuk menyelamatkan seseorang daripada hukuman.

“(Hukuman diperuntukan kepada) individu yang telah mereka sesuatu yang palsu untuk membolehkan seseorang individu terlepas daripada hukuman mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut berkata, individu yang akan disabitkan kesalahan turut akan didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan rahsia rasmi kerajaan.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya dalam sidang media, berkata rakaman berdurasi 45 minit itu diterima pihaknya melibatkan salah guna kuasa, konspirasi, jenayah berhubung skandal mega SRC International Sdn Bhd dan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sembilan rakaman audio yang diperdengarkan kepada media antaranya perbualan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkefly Ahmad yang ketika itu sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara yang menghubungi Najib untuk meminta pandangan selepas cadangan SPRM berhubung penyelewengan RM42 juta milik SRC.