KPP gariskan kemahiran askar pintar masa depan

KPP gariskan kemahiran askar pintar masa depan

Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentang Menteri Pertahanan Mohamad Sabu turut mengariskan keupyaan angkatan tentera Malaysia (ATM) berasaskan kepada pengetahuan dan kemahiran ke arah askar pintar.

KPP turut mengariskan dua peranan utama ATM dalam melindungi kepentingan, kedaulatan dan keutuhan wilahyah daripada ancaman menerusi pelaksanaan operasi maritim, udara, darat dan siberelektromegnetik.

Malah peranan sekunder iaitu melaksanakan operasi-operasi ketenteraan selain peperangan atau Military Operations Other Than War, MOOTW, membantu pihak berkuasa awam dalam penguatkuasaan serta sokongan usaha keamanan sejagat melalui panji PBB.

” Struktur dan penampilan angkatan perlu dibentuk semula untuk menangani persekitaran keselamatan yang sentiasa berubah.

” Walaupun kekuatan ATM dikekalkan pada saiz semasa untuk tempoh KPP ini (10 tahun) , namun penjurusan semula dan pengutamaan akan dilaksanakan untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

“Penekanan yang khusus akan diberikan untuk meningkatkan keupayaan bersama serta merealisasikan keperluan melaksanakan operasi dua wilayah merangkumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Bahagian penting dalam pembangunan Angkatan Masa Hadapan ialah pelaburan jangka panjang Kerajaan dalam meningkatkan kesiapsiagaan ATM dengan penyediaan aset dan kelengkapan yang diperlukan, keupayaan tenaga kerja yang berasaskan pengetahuan dan kemahiran ke arah askar pintar,” ujarnya ketika membentangkan usul KPP di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata, kerajaan beriltizam untuk membangunkan ATM agar menjadi angkatan yang bersepadu, tangkas dan berfokus yang mempunyai lima ciri utama iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berorientasikan misi.

Katanya, ciri-ciri ini akan membentuk angkatan yang berupaya diaturgerak dengan pantas, melaksanakan pelbagai peranan dan mampu beroperasi di empat domain utama, iaitu maritim, udara, darat, dan siber elektromagnetik.

Justeru KPP telah mengenalpasti 10 keperluan iaitu:

i)Memperkukuhkan perisikan pertahanan ATM;

ii)Membangunkan Keupayaan Aktiviti Elektromagnetik Siber;

iii)Meningkatkan Keupayaan Perisikan, Pengawasan, Perolehan Sasaran dan Peninjauan atau ISTAR;

iv)Membangunkan Network Centric Operation;

v)Komunikasi Satelit untuk meningkatkan kemampuan Perintah dan Kawalan Bersama;

vi)Mengekal dan meningkatkan kemampuan dan tempo operasi Pasukan Khas ATM;

vii) Domain Maritim – Meningkatkan Keupayaan Tempur Maritim, dan Keupayaan Daya Tahan Operasi Maritim;

viii)Domain Udara – Keupayaan Pertahanan Udara dan Serangan Udara;

ix)Domain Darat – Meningkatkan kuasa tembakan, mobiliti, komunikasi, keupayaan logistik; dan

x)Membangunkan kemampuan amfibi.

Melalui KPP ini reformasi ATM sangat diperlukan untuk membentuk satu angkatan bersepadu, tangkas dan berfokus yang mampu melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan serta ke utuhan wilayah.

Ketika ini  usul KPP sedang dibahaskan ahli parlimen pembangkang di dewan rakyat.