KPP: Kementerian Pertahanan mahu 1% KDNK setiap tahun tingkat aset pertahanan

KPP: Kementerian Pertahanan mahu 1% KDNK setiap tahun tingkat aset pertahanan

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memohon pihak kerajaan supaya memperuntukkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi meningkatkan aset pertahanan negara.

Menurut Mohamad, pihaknya akan meminta peruntukan tersebut daripada pihak kerajaan dan perkara berkenaan turut mendapat sokongan pihak pembangkang.

“Tadi masa dalam dewan pun, ianya disokong oleh pembangkang. Kami di peringkat kementerian mahu (peruntukan) sekurang-kurangnya satu peratus daripada KDNK.

“Tetapi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13 kita sudah rangka, namun kita akan meminta lebih peruntukan itu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen selepas sesi penggulungan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentangkan oleh beliau di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad Sabu bergambar bersama kakitangan kementeriannya selepas sidang media diadakan hari ini.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan adalah Timbalannya, Liew Chin Tong; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Zulkifli ketika ditemui di lobi Parlimen menyifatkan kertas putih yang dibentang oleh Menteri Pertahanan pada hari ini adalah kertas ‘rakyat Malaysia’.

“Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan kertas putih itu. Selepas 61 tahun, inilah kertas putih yang dibahaskan di Parlimen, bermakna ia adalah kertas rakyat di negara ini.

“Kertas putih ini juga bersifat keseluruhan, namun semua negara mempunyai ruang lingkup mereka tersendiri untuk melindungi apa yang tidak sepatutnya didedahkan kepada orang awam,” ujarnya.