Malaysia Dateline

KPT arah tangguh kemasukan pelajar ke IPT untuk sesi Oktober

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan agar semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran fizikal pelajar-pelajar baru dan lama bagi kemasukan Oktober 2020 ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, KPT mencadangkan agar urusan pendaftaran pelajar dilaksanakan secara dalam talian, termasuk subjek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu diberitahu kelak.

Pada masa sama, KPT memaklumkan telah berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi memohon mempertimbangkan penjadualan semula penerbangan pelajar-pelajar pulang ke kampus khususnya bagi mereka yang telah membeli tiket penerbangan pulang ke IPT.

“Hasil rundingan tersebut, syarikat-syarikat penerbangan telah bersetuju untuk menjadualkan semula penerbangan pelajar sehingga 31 Disember 2020.

“Bagi pelajar yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing.

“Pihak IPT diminta membantu segaia keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar ini. Sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan balik ke kampus serta sesi pengajaran dan pembelajaran boleh dirujuk terus kepada IPT masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Kementerian itu berkata, keputusan menangguhkan pendaftaran secara fizikal dan bersemuka dengan pelajar-pelajar yang terlibat perlu dibuat demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak.