KPT perlu jelaskan kedudukan Kolej Teknologi Pulau, kata penduduk

Kolej Teknoloji Pulau yang terbiar.

Zolkifly Md Lazim

Kegagalan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mewakili Balik Pulau sejak pilihan raya umum (PRU) ke 13 yang lalu, bukan suatu perkara baru.

Ia bukan saja membabitkan isu kesihatan, pendidikan dan ekonomi penduduk dalam kawasan parlimen tersebut, lebih malang lagi nasib pelajar sebuah insitusi pengajian tinggi milik kerajaan pusat.

Demikian dinyatakan oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dun Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim.

Jelas beliau lagi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) harus memberi penjelasan ke mana hala tuju dan nasib pelajar Kolej Teknologi Pulau atau lebih dikenali sebagai Island College of Technology itu.

“Kolej ini yang ditubuhkan pada tahun 1998 merupakan anak syarikat kepada JKP Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

“Ia juga telah diperbadankan secara rasmi dan diambil alih pada 24 November 2011.

“Yang menjadi persoalan ke mana hala tuju dan nasib pelajar yang sebelum ini didakwa terpaksa berpindah-randah sehingga ke Jelutong,” tanya beliau yang juga merupakan Ketua Bahagian Parti Primbumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Balik Pulau.

Malah katanya lagi, sebelum ini institusi tersebut dijadikan Pusat Inkubator Kraf, walau bagaimanapun tinjauan yang dibuat mendapati ia menjadi bangunan yang terbiar tanpa berpenghuni.

“Penduduk Balik Pulau ingin tahu kedudukan sebenar status kolej milik kerajaan pusat tersebut.

“Apakah nasib pelajar yang sepatutnya dibela kerana berada dalam kawasan luar bandar, tetapi kini terpaksa pula dipindahkan ke tempat yang lebih jauh, sedangkan bangunan sedia ada boleh dimanfaatkan.

Bangunan yang menjadi tempat pengajian mahasiswa kolej suatu ketika dulu kini terbiar.

“Bangunan sedia ada di Balik Pulau juga seolah-olah tidak dipedulikan dan tidak berfungsi,” ujarnya lagi.

Oleh kerana itu katanya, kegagalan mengakses kolej tersebut oleh kerajaan secara total di Balik Pulau amat mengecewakan.

Justeru tegasnya, pengundi dalam Parlimen Balik Pulau tidak harus termakan dengan pelbagai janji yang ditaburkan oleh BN menjelang pilihan raya umum yang akan datang tidak lama lagi.

“Jangan beri sedikit pun mandat sama ada kepada Umno-BN maupun Pas.

Sebahagian lagi bangunan dalam kolej yang tidak digunakan lagi.

“Memberi sokongan kepada mereka akan merugikan pengundi Balik Pulau yang terbukti masih lagi memerlukan dokongan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Pengundi Balik Pulau mesti tolak BN kerana tidak menepati terlalu banyak janji-janji yang mereka taburkan sejak 2013 yang lalu,” tambahnya lagi.

Tegasnya lagi, seharusnya kerajaan memberi pembelaan terhadap penduduk khususnya di kawasan luar bandar seperti Teluk Bahang, dengan memberi perhatian serius terhadap institusi pendidikan tinggi tersebut, namun begitu kerajaan gagal untuk menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

CATEGORIES