Malaysia Dateline

KPWKM galak wanita B40 sertai bidang perkhidmatan, pembuatan produk

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa mengalakkan penglibatan lebih ramai wanita dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) menyertai bidang perkhidmatan dan pembuatan produk bagi memperkasakan kemahiran mereka.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata dengan adanya penyertaan wanita B40 dalam aktiviti ekonomi tidak formal seumpama itu, ia dapat meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh sekali gus meningkatkan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara.

“Melalui JPW (Jabatan Pembangunan Wanita), kita ada menyediakan program Pusat Cakna Bangun Ekonomi (PACBE) yang merangkumi bengkel, kursus atau latihan, dan sehingga 15 Okt ini 573 program dilaksanakan dengan penglibatan 10,332 orang majoriti peserta wanita daripada kelompok B40.

“Kita berharap agar lebih ramai wanita menyertai program seumpama ini yang secara tidak langsung akan meningkatkan jumlah pelantikan wanita sebagai pembuat keputusan dalam organisasi dan syarikat-syarikat korporat,” katanya ketika berucap merasmikan Program Santuni Rakyat peringkat negeri Melaka di Bachang, hari ini.

Kementerian melalui JPW melaksanakan PACBE yang memberi fokus kepada pembangunan kapasiti dan peningkatan kesejahteraan wanita termasuk ibu tunggal dalam membantu menambahkan pendapatan dan meningkatkan kedudukan mereka.

— BERNAMA