Malaysia Dateline

KPWKM tarik semula kenyataan penutupan Talian Kasih

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini menarik semula kenyataan penutupan sementara perkhidmatan panggilan Talian Kasih, yang dilaporkan akan berkuatkuasa hari ini.

Kenyataan tersebut ditarik balik selepas pengumuman penutupan perkhidmatan itu yang disiarkan tengahari tadi.

KPWKM dalam satu siri tweetnya turut memaklumkan bahawa kementerian itu akan meneruskan perkhidmatan tersebut.

“Terima kasih untuk maklum balas yang diberikan oleh anda semua. Sukacita kami maklumkan bahawa, Talian Kasih 15999 dan juga Talian Kasih Whatsapp 019-2615999 akan beroperasi semula,” tulisnya.

Terdahulu, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, hari ini bersuara menyatakan tidak setuju terhadap penutupan perkhidmatan Talian Kasih berkuatkuasa hari ini.

Wan Azizah berkata, perkhidmatan penting itu tidak sepatutnya dihentikan dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan sedang berkuatkuasa.

“Hanya kerana semua diminta untuk berada di rumah, ianya tidak bermakna mereka tidak mempunyai masalah atau tiada kanak-kanak yang hilang atau didera.

“Malah, dalam keadaan rakyat diminta untuk duduk di rumah pada waktu yang panjang, Talian Kasih ini boleh menjadi lebih penting bagi mereka yang mempunyai masalah atau mengalami kemurungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dengan tegas menggesa, supaya kementerian mengkaji keputusan tersebut dan mengaktifkan semula Taliah Kasih dan Talian Kasih Whatsapp dengan segera.

Terdahulu, bekas timbalan menteri KPWKM, Hannah Yeoh turut mengeluarkan kenyataan sama yang menentang penutupan perkhidmatan atas talian itu.