Malaysia Dateline

Kredit Komuniti ganti Along tidak tanggungjawab, kata bekas tim menteri KPKT

Tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan Kredit Komuniti bagi mengesahkan operasi pemberian kredit yang dikenali sebagai “Along” sebelum adalah cadangan sangat tidak bertanggungjawab.

Bekas Timbalan Menteri KPKT, Datuk Raja Bahrin Shah berkata, tindakan ini umpama Kerajaan PN memberi manisan beracun kepada rakyat yang sedang sengsara kesempitan hidup.

“Kalau begitu keadaannya baik sahaja nama Kredit Komuniti di tukar kepada ‘Kredit Tidak-berhati’,” kata beliau dalam satu kenyataannya.

Bagi beliau, ini bukan cara untuk membantu peminjam yang tertekan dalam kesempitan tetapi memberi peluang niaga lumayan kepada peminjam wang mengambil kesempatan rakyat yang dalam penderitaan.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu itu, beliau agak tergaman seketika apabila di tanya tentang skim Kredit Komuniti, nama baru peminjam wang berlesen, yang baharu diumumkan oleh Menteri KPKT Datuk Zuraidah Kamaruddin baru-baru ini.

“Kredit Komuniti nampaknya seperti memberi pesakit makan ‘ubat’ yang ia mempunyai alahan, allergy, di mana pesakit akan menjadi lebih sakit atau tenat apabila makan ubat tersebut kerana reaksi alahan yang teruk. The ‘cure’ is worse than the illnesss,” kata beliau.

Mana tidak, katanya, kalau dengan kadar faedah biasa sekitar antara 5% hingga 7.5% pun rakyat sudah merana teruk, bagaimana pula mereka hendak membayar pinjaman kadar faedah antara 12% hingga 18% semasa dalam keadaan ekonomi gawat dan tiada kerja kerana Covid 19.

“Kalau dahulu Pas menyaran undilah Pas untuk ekonomi tanpa riba, sekarang kerajaan PN dengan Pas menawar kadar riba pinjaman lumayan 18%,” dakwa Pengerusi AMANAH Terengganu, negeri kubu Pas itu.

Ini kerana, kata beliau, penindasan kewanganlah punca Islam mengharamkan riba, apakan lagi riba yang amat tinggi seperti parasit menghisap darah rakyat yang sudah hampir nazak disebabkan ekonomi waktu Covid.

Bagi beliau, cadangan Kredit Komuniti akan merupakan madu yang beracun yang akan menambahkan bebanan dan kesengsaraan rakyat.

Rakyat golongan B40 dan M40 amat memerlukan bantuan kewangan dan bukan idea separuh masak pinjaman yang akan menambah bebanan rakyat.

“Di manakah bantuan kewangan yang di perolehi Kerajaan tanpa kelulusan Parlimen yang di tutup disebabkan darurat?” tanya beliau.

APA PERANAN PAS

“Tidak lupa cabutan judi Magnum di naikkan dari 8 setahun kepada 22 di tahun pertama PN memerintah bersama Pas,” sindir Raja Bahrin, bekas ahli Parlimen Pas Kuala Terengganu itu.

“Inilah akibatnya sikap sombong apabila KPKT tidak merujuk atau menghargai pandangan profesional,” kata beliau.

Beliau merujuk kepada tindakan Setiausaha politik Menteri KPKT telah menemplak Dr Adeeba, seorang pakar perubatan, yang menasihati cara pembersihan ‘sanitation’ oleh KPKT yang tidak disyorkan oleh Badan Kesihatan Dunia untuk banteras Covid kerana tidak berkesan dan membazirkan wang.

“Apabila kerajaan PN dan kementerian mendahulukan ego dan bukan ilmu kepakaran profesional, inilah keadaan masalah dihadapi negara hari ini,” katanya.