Malaysia Dateline

Krisis alam sekitar berpunca daripada manusia yang rakus

Sempena Hari Alam Sekitar pada 6 Jun, seluruh perancang model pembangunan negara digesa supaya disemak semula pendekatan dan konsep pembangunan dalam setiap aspek.

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan beliau kepada Malaysia Dateline berkata, krisis alam sekitar sedang berhadapan dengan perubahan iklim dan kemusnahan keseimbangan ekologi.

Sejajar dengan itu tegas beliau, realiti kini adalah kemusnahan dan kehancuran yang hampir sukar dirungkai dan diselamatkan apabila krisis alam sekitar telah memangsakan ratusan juta manusia terutamanya dalam kalangan masyarakat yang miskin, kebuluran, kehilangan kediaman, kerosakan prasarana asas, hilang punca pendapatan dan menyebar luas penyakit baharu yang berskala pandemik.

“Krisis alam sekitar tatkala ini berpunca dari krisis manusia yang menganggap bahawa alam bukan sebagai amanah tetapi sumber untuk dieksploitasi dengan penuh rakus dan akhirnya apabila menjelangnya sambutan hari alam sekitar sedunia, maka rekod yang dilaporkan adalah alam kini sedang nazak mengakibatkan kesannya sedang dilihat dan dirasai seluruh penduduk dunia.

“Lebih malang apabila ramai penggubal dan perancang pembangunan masih angkuh dan berdegil serta mendakwa semua risiko alam sekitar boleh diatasi dengan teknologi terkini, sedangkan terlalu banyak kenyataan serta fakta kerosakan alam sekitar adalah ekoran dasar dan model pembangunan yang sedang mempengaruhi sikap dan tabiat rakyat terhadap alam sekitar.

“Jelas terbukti data yang menunjukkan kerosakan pelbagai ekosistem. di negara ini dari pencemaran laut, sungai, tasik, hutan, gunung, bukit dan hutan bakau sehinggalah kemusnahan pantai serta keracunan bumi adalah kerana model pembangunan yang masih tidak konsisten dengan retorik mesra alam yang selalu dicanang-canang,” ujar beliau.

Tambahnya, pembangunan berskala mega sering menjadi keghairahan dengan ungkapan angka dan data pertumbuhan ekonomi termasuklah mengumumkan projek tambakan laut, pembangunan pulau buatan manusia, pembersihan dan penerokaan hutan, pembangunan ladang ratusan ribu ekar yang sering dibanggakan dengan mempamirkan teknologi bertaraf tinggi.

Beliau juga berkata, tatkala ini ada yang ghairah menerima cadangan syarikat korporat gergasi untuk bergabung bagi membangunkan projek mega melalui tambak laut yang berskala besar.

“Apabila dipersoal oleh aktivis alam sekitar dengan simplistik ia dituduh pula sebagai anti pembangunan,” katanya.

Maka itu jelas Mohd Azmi, ia memberi impak negatif sehingga mengakibatkan banjir besar, ribut yang kerap berlaku, tanah runtuh, pencemaran udara dan air serta penyebaran wabak penyakit yang merosakkan harta dan kehidupan manusia.

Kata beliau lagi, kerumitan turut timbul apabila munculnya perbalahan dan perebutan air antara negeri dan saling tuduh menuduh antara satu sama lain yang berlatarbelakangkan kepentingan politik semata- mata.

Sejajar dengan itu ia menyarankan supaya semua pihak bersikap jujur dalam mengungkap soal pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar dan yang lebih perlu diberi prioriti ialah peranan kerajaan, pentadbir, swasta, masyarakat sivil, ahli politik serta rakyat sendiri perlu mempunyai fikiran yang selaras untuk menjaga alam sekitar.